Tuesday, October 13, 2009

Misteri janji

"Nanti saya duplicate kunci ini,"
"Susahnya nak duplicate, cuba cari kedai tapi tak dapat," (bla..bla...bla...)

"Nanti kalau kakak saya ke Bandar, saya minta dia carikan celak itu,"
"Susahnya nak cari celak tersebut,"(bla..bla...bla...)

"Kalau awak dapat jawab soalan ini, nanti saya bagi hadiah misteri,"
...Selepas soalan dijawab dengan betul, hadiah tinggal 'misteri'...

"Kelahiran anak awak memberi saya kebahagian lain. Saya harus bagi sesuatu di atas kelahiran anak awak,"
.... tinggal misteri...

"Nanti saya beri resipi yang awak minta itu,"
.... tinggal misteri juga...

Yup! hidup dengan pelbagai 'janji' memang penuh misteri.

Kadang-kadang hati yang dicucuk syaitan, menjadi sungguh sakit dan terasa mulut ini laju saja hendak 'memberi orang pahala sendiri free2'.

Saya hendak hidup bebas tanpa hutang.
Saya hendak hidup bebas tanpa menabur janji pada orang.

Jadi jika ada sesiapa yang terasa saya ada membuat sebarang janji dengan dia- selain suami sendiri, emel atau sms saya, mungkin saya lupa untuk tunaikan. Saya harus tunaikan janji saya di dunia. Saya tidak mahu didakwa di akhirat kerana beban di sana, belum tentu saya mampu galas.

Sebab itu dalam penulisan, saya tidak mampu memberi sebarang komitmen untuk satu manuskrip. Sebab saya belum tentu dapat menulisnya dengan jaya.

p/s: Sangatlah susah hendak mengawal hati apabila marah. Sungguh! Astaghfirullahalazim...

Perkara Baik dengan Ucapan kurang baik
"Aku sudah dapat anak perempuan," seorang rakan lelaki dengan terujanya memberi maklum kepada semua rakan dalam emel group.
"Baguslah. Tahniah. Jangan jadi haruan makan anak pula," balas seorang rakan lelaki lain.

"Saya akan berkahwin tidak lama lagi," seorang rakan perempuan lain bercerita.
"Baguslah. Tahniah. Semoga cepat dapat anak- itupun kalau tidak mandul," balas seorang lain pula.

Kalau kita tidak mampu memberi kata-kata baik, berhenti di situ sahaja. Mulut memang biasanya bercakap lebih cepat daripada minda. Tangan yang menulis emel itu lebih cepat menekan butang send daripada otak untuk berfikir perasaan penerima.

Saya orang luar yang membaca juga terasa, apatah lagi jiwa penerima. Tidakkah tersentak dan carik perasaannya?

Ini satu lagi halnya...
Sering rakan-rakan saya yang masih single mengadu dalam emel kebelakangan ini. Lama-lama saya meletakkan diri dalam situasi mereka, mula memahami perasaan hati mereka.

"Kau dah umur berapa? kenapa tidak mahu kahwin lagi? Orang hendak, kau tidak mahu!" Tempelak seseorang kepada rakan saya.

"Apa lagi yang kau pilih? Orang itu kau tolak, orang ini kau tidak suka. Kau ini pemilih sangat!" rumus seseorang yang lain pula.

Ya, ianya tentang jodoh. Tentang perkara yang kita di luar bidang kuasanya. Perkara yang Allah telah tentukan sebelumnya.

Kalau tanya saya, kenapa rakan-rakan saya masih single? Bukan tiada rupa atau susila. Mereka semua orang yang berwajah cantik dan sempurna. Mereka orang yang berprinsip dan bertata susila.

Dua sebab saya mampu fikirkan,

1- Mereka memang memilih.
Apa salahnya jadi pemilih? Mereka berhak memilih. Kita bercakap tentang jodoh. Lelaki yang akan duduk bersama, berkongsi bantal segala. Mereka memang perlu memilih dan berhati-hati memilihnya.

Pernikahan bukannya perkara enteng. Bukan! Ianya akad yang bersaksikan malaikat. Dicatat segala kebaikan dalam bukunya dan syaitan menangis saat anak Adam bernikah- mendirikan masjid!

Kenapa memilih sangat? Sebab lelaki yang baik sudah pupuskah sekarang? Belum! Saya percaya, masih ada. Tentunya masih ada lelaki baik selagi ada perempuan yang baik.

2- Mereka bukan memilih.
Tapi jodoh belum sampai lagi. Boleh rasakah itu jodoh kita? Ya! Memang boleh. Kiranya jalan mana yang kita lari, tapi dia juga yang datang tunduk depan mata. Pusing satu dunia, tapi dia juga yang tiba, maka itu memang jodoh.

Walaupun perasaan berbelah bahagi untuk menerima, tetap pernikahan itu terasa bagai dipermudahkan, ianya memang jodoh- ketentuan Allah.

Perasaan sayang itu limpahan Rahmat Allah. Maha Penyayang Allah itu terpercik dalam sanubari pasangan kekasih yang bernikah kerana takwa kepada Allah. Saya percaya, kerana saya melaluinya. Subhanallah... Terima kasih untuk nikmatMu yang ini. Mana mungkin aku tidak bersyukur untuk saat yang Engkau anugerahi ini.

Bagi teman-teman baik, jauh dan dekat. Biarpun single- takwa kita tetap pada Allah. Hidup berkeluarga cabarannya berbeza. Lagilah syaitan berbisik kiri dan kanan. Haruslah berjaga-jaga dan minta perlindungan Allah. Seni berladang pahala juga berbeza. Biar hidup single, jangan hidup berdua tapi masalah juga berlipat kali ganda.

Hidup single, lebih bebas ke mana-mana. Lepas lapang berfikir. Biarpun sendiri itu sepi- saya sangat-sangat memahami erti sepi itu. Tiada teman bicara atau sekadar untuk mengada-ngada. Tiada tukang lap air mata, atau seseorang sekadar memeluk erat di saat kita merasakan dunia berpaling tadah. Saya mengerti.

Tapi harus percaya yang Allah tidak pernah mensia-siakan setitis airmata yang menangis keranaNya. Mungkinkah itu penyelamat dari panas api neraka?

3 comments:

NuE said...

seronok baca entry ni umi.....heheheheeh...

Anonymous said...

kadangkala kita cuma boleh terima apa yang diberi hoh...

fatin nabila said...

terima kasih untuk n3 ini, cukup bermakna...ALLAH maha adil..