Tuesday, September 8, 2009

Biskut Raya

Serius,
Saya sedih sebab kuih raya yang saya tempah nampaknya tidak akan dapat saya rasai di Aidilfitri nanti.

Kerana:

Kerajaan Bahrain menyekat sebarang pos kemasukan makanan ke sini dek kerana H1N1. Saya terkedu mendengar peraturan ini.

Hari itu, saya yakin pasti terubat rindu saya untuk beraya di Malaysia kerana saya masih boleh menikmati biskut raya yang sedap yang sudah lama saya tempah dari seorang kakak yang sungguh kukagumi kental jiwanya meladeni hidup.

Lama saya termenung semalam, menatap skrin sms kiriman. Saya memang sudah serik untuk membakar biskut raya sendiri. Sebab rasanya air tangan saya untuk membakar biskut ini tidaklah begitu menyegat. Dan Almond London! Aduh! Ke London pun belum tentu kudapat merasa biskut ini.

Terkenang
Tahun lepas saya membakar kuih raya bersama suami dan Umar di kantung rahim. Masih saya ingat, suamilah yang banyak buat kerja- seperti selalunya juga. Jika ada saja idea saya untuk masak secara 'besar-besaran' dialah yang sebenarnya banyak melakukan kerja.

Berpindah rumah- dia juga yang mengangkut semua...
Buat jamuan makan panggil 40 tetamu-dia juga yang melakukan perkara itu dan ini...
Tanpa dia, pasti sukar rencana saya.

Baru saat ini terasa hendaknya beraya di Terengganu... Serius! Dek kerana biskut rayaku yang tidak kesampaian, makanya jiwa ini sungguh terkilan. Namun apakan daya, kita merencana. Allah juga merencana... Dan perencanaan Allah adalah yang terbaik.

Dan Alhamdulillah... di atas segalanya...

-salam 10 malam terakhir Ramadhan 2009-

0 comments: